Sikap Terhadap Kitab-kitab dan kepalsuan kitab selain Al-Qur'an
Mari Mengenal Kitab-kitab Suci
Wajib kita meyakini bahwa dengan kasih
sayangNya, Allah SWT menurunkan kitab-kitab suci untuk panduan hidup manusia
lahiriah dan batiniah secara lengkap dan menyeluruh yang sesuai untuk sepanjang
zaman. Kitab-kitab suci itu Allah turunkan secara beransur-ansur hingga
diturunkannya kitab suci Al Quran sebagai kitab penutup, membenarkan dan
menyempurnakan kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Diturunkan kepada
manusia melalui utusan-utusanNya atau para Rasul Alaihimussolatu wassalam.
Al
Quran adalah kalamullah atau kumpulan firman-firman Tuhan Yang Maha Suci, yang
hakikatnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, tidak tersusun dari
huruf-huruf dan tidak terdiri dari lafaz-lafaz dan kalimah-kalimah. Kita dapat
memahami dan mengamalkan firman Tuhan itu melalui bahasa rasul-rasulNya. Maha
Suci dan Maha Besar Tuhan. FirmanNya tidak serupa dengan perkataan manusia.
KebesaranNya dapat difahami dan dirasakan melalui firman-firmanNya yang
termaktub dalam kitab suciNya terutama Al Quran.
Kitab suci Al Quran, kebesarannya dikagumi dan
ditakjubi. Bahasanya mudah tetapi indah. Susunan ayatnya bukan syair, bukan
sajak dan bukan gurindam, bukan novel dan bukan cerpen. Ada cerita membawa
berita, bukan falsafah tetapi di dalamnya ada falsafah, ada hukum ada panduan,
ada perintah ada tegahan, ada hiburan ada ingatan. Dalam cerita ada hukum.
Dalam hukum ada cerita, ada perbandingan ada perumpamaan. Di dalamnya membuka
segala rahasia Akhiratnya, dunianya, jasmaninya, rohaninya, mukminnya,
kafirnya, munafiknya, watak-watak manusia, malaikat dan jinnya. Peristiwanya
ada yang sudah terjadi dan akan terjadi. Ramalannya berlaku. Sebab bukan
ramalan para normal atau para pakar, tapi jadual Tuhan ke depan yang
diberitahukan kepada rasulNya untuk panduan. JanjiNya pasti terjadi, mustahil
Allah ingkar janji. Ada ilmu di dalam ilmu, hikmahnya di dalamnya hikmah.
Bahasanya mudah tetapi sukar ditiru.
Membacanya tidak jemu, menatapinya menimbulkan
kekuatan jiwa, mengobati hati dan menajamkan mental. Petunjuknya adalah
kedamaian, keselamatan, keharmonian, membersihkan kemungkaran, penzaliman dan
penindasan. Hukumannya berhikmah. Mengamalkannya melahirkan tamadun dan
kebudayaan. Bahasanya, susunannya, isinya dikagumi oleh ahli bahasa, ditakjubi
oleh para sasterawan, dianggap pelik oleh filasof, dianggap sihir di zaman
jahiliyah, mencabar cerdik pandai. Mereka tercabar tidak dapat mencabar.
Menceduk mutiaranya tidak habis-habis. Tidak dapat diubah, dibuang dan
ditambah. Telah terbukti beberapa kali dicoba oleh musuhnya, dikesan juga
akhirnya. Pusaka abadi, mukjizat Nabi, Sayidul Anbiya wal Mursalin, wakhotamun
nabiyyin.
Diwaktu ini telah muncul mujtahid-mujtahid
baru, mentafsir Quran mengikut nafsu atau mengikut fikiran secara sekular.
Dengan sombongnya dan mendabik dada timbullah pendapat-pendapat yang berbahaya,
bak racun yang diluarnya gula.
Mentafsirkan Quran memerlukan ilmu yang
banyak, mengikut kaedah nahu, sarafnya, faham hadis dan mustalahannya, mahir
balaghah dan kawaid-kawaidnya, faham usul tafsir dan usul feqah. Kalau tidak,
tafsiran-tafsiran itu pasti salah. Paling kurang mesti tahu mujmal dan
mubayannya serta mutlak, mukaiyadnya tidak boleh tinggal, arif tentang am dan
khasnya, agar Quran dapat difaham dengan tepat. Asbabunnuzul juga difaham.
Nasikh mansukh diambil kira, agar Quran jangan disalah faham. Baru boleh
mengeluarkan hukum-hakam seperti ulama-ulama zaman silam. Bahkan ada ilmu-ilmu
yang lain mesti diketahui yang tidak perlu disebut disini.
Jika
ilmu-ilmu tersebut tidak menjadi pengukurnya sudah tentu mentafsirkan Quran
dengan fikirannya. Nabi telah berpesan kepada kita, siapa mentafsirkan Quran
dengan fikirannya, neraka jahannam disediakan baginya sebagai tempat
kembalinya.
Kitab suci yang wajib diketahui dan diyakini
ada 4, yaitu:
1.
Kitab Suci Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa Alaihissalam.
2.
Kitab Suci Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud Alaihissalam.
3.
Kitab Suci Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa Alaihissalam
4.
Kitab Suci Al Quran yang diturunkan kepada Baginda Rasulullah saw.
Semua kitab suci itu dari Tuhan dan isinya
semuanya benar, tidak boleh ada sedikitpun keraguan terhadapnya. Hanya kitab
taurat dan injil yang ada ditangan penganut-penganutnya sekarang ini yang tidak
lagi menurut yang aslinya, sudah banyak diubah oleh pendeta-pendetanya dulu,
sehingga tidak dapat lagi dipercaya isinya, demikian keyakinan ummat Islam.
Tuhan menerangkan hal ini di dalam Al-Quran
dengan firmanNya yang bermaksud:
Sebahagian orang-orang Yahudi mengubah-ubah
kitab sucinya dari keadaan yang asli. (Annisa : 46).
Al
Quran adalah kitab suci yang diturunkan kepada penghulu dan penutup sekalian
nabi dan rasul. Syariat yang terkandung di dalamnya benar, tidak ada keraguan
dan telah sempurna. Tidak ada satu perkara pun yang kurang, yang tidak ada
dasar dan sumber rujukannya di dalam Al Quran.
Oleh
karena itu cukuplah bagi kita Al Quran untuk menjadi dasar dan sumber rujukan
dalam segala aspek kehidupan. Kitab-kitab sebelumnya, sekalipun wajib kita
meyakininya tetapi untuk menjadi pegangan hidup atau cara hidup semuanya
(syariat yang terkandung di dalamnya) mansukh (terbatal) dengan datangnya Al
Quran. Al Quran membenarkan, meluruskan dan menyempurnakan isi kandungan kitab-kitab
sebelumnya.
Bagaimana sikap manusia terhadap Kitab-kitab
suci itu?
Ada
7 golongan manusia dikaitkan dengan kitab-kitab suci yang merupakan
implementasi dari keyakinan mereka terhadap keduanya:
Orang yang betul-betul mempelajarinya hingga benar-benar
pakar dengannya. Mereka yakin dengannya dan menjadikannya sebagai amalan hidup,
landasan perjuangan dan sumber rujukan dalam segala persoalan.
Golongan yang serius mendalami kitab-kitab
suci itu hingga menjadi pakar. Mereka juga yakin dengannya dan menjadikannya
sebagai sumber rujukan dalam setiap persoalan. Mereka berani berkata benar
walaupun pahit. Hanya mereka tidak ada kekuatan untuk mengamalkan segala ilmu
dan keyakinannya. Mereka gagal melaksanakan sepenuhnya cara hidup dan
peraturan-peraturan yang terkandung di dalamnya. Akhlak mereka tidak seindah
akhlak orang beragama yang sungguh indah itu. Ini terjadi karena mereka tidak
memiliki iman yang kuat untuk menentang hawa nafsu.
Golongan yang memperkatakan tentang
kitab-kitab itu, kerana mereka mempelajarinya secara umum. Mereka yakin dengan
kebenaran kitab-kitab itu dan menjadikannya sebagai tempat rujuk. Tapi mereka
ini orang yang ada kepentingan. Agama bukan keutamaan dalam hidup mereka.
Mereka tidak minat dengan cara hidup beragama. Ilmu agama hanya untuk mental
exercise.
Golongan orang yang tidak yakin dengan
kitab-kitab suci itu, tetapi mereka minat mendalami kitab-kitab tersebut kerana
cinta ilmu untuk dijadikan latihan mental semata-mata atau ada tujuan lain,
bukan untuk dijadikan pegangan hidup atau rujukan hidup atau rujukan dalam
kegiatan hidup harian. Hanya bila menguntungkan baru ilmu itu dipakai. Inilah
golongan munafik.
Umat
beragama yang membaca kitab-kitab suci itu tetapi tidak faham. Mereka mengaku
mengamalkan isi kitab-kitab itu tetapi tidak mempelajarinya secara mendalam.
Amalan mereka hanya diambil dari kitab-kitab ulama. Mereka bersangka baik
dengan ulama. Mereka yakin ulama yang menjadi ikutannya itu merujuk kepada
kitab-kitab suci itu. Mereka bersungguh-sungguh mengamalkan ajaran agamanya
yang dipelajari dari ulama itu. Mereka tidak mampu mengeluarkan dalil atas nas
dari kitab-kitab suci. Mereka disebut muqallidin.
Golongan beragama yang mendengar tentang
kitab-kitab suci hanya dari jauh. Mereka ini bersandar dengan ulama pun tidak,
jauh sekali merujuk kepada kitab-kitab itu. Namun mereka mengaku bahwa agama
yang mereka amalkan dirujukkan kepada kitab-kitab suci. Agama mereka adalah
agama keturunan, yang mengamalkan ajaran agamanya atas dasar tradisi kaumnya.
Ilmu agamanya sangat sedikit, yang asasnyapun tidak selesai. Amalan dibuat
hanya ikut-ikutan saja, tidak tahu mengapa dan dari mana rujukannya. Mereka
adalah golongan orang jahil.
Golongan orang yang hanya mengkaji ilmu di
dalam kitab-kitab suci. Akan tetapi mereka sendiri tidak meyakini itu sebagai
wahyu dari Tuhan.
Diantara langkah-langkah untuk mendapatkan
keyakinan yang kuat dan mendalam terhadap kitab-kitab suci ini, khususnya yang
terakhir iaitu Al Quran dan beramal dengannya hingga Al Quran menjadi cara
hidup dalam setiap aspek kehidupan antara lain adalah dengan:
1.
Mencari guru yang mempraktikkan Al Quran. Kalau zaman Baginda Rasulullah SAW,
peribadinya sendirilah Al Quran bergerak, yang dalam tindak-tanduk
sehari-harinya mengikut Al Quran dan Hadits.
2.
Perlu mencari sekolah yang dapat membawa kita makin berilmu makin dekat dan
makin takut dengan Allah.
3.
Berguru dengan orang yang hidup matinya untuk melaksakan Al Quran dan dapat
membawa kita menuju Allah.